Rabu, 3 Ogos 2011

Dosa Pahala

Hanya Allah dan Rasulnya yang berhak, kita tidak pasti melainkan apa yang zahir seperti jika seseorang mati dalam kekufuran setelah datang kepadanya penerangan iman dan islam yang secukupnya, atau mati dalam maksiat yang jelas, Maka Nas Al-Quran dan sunnah menyatakan dia ahli neraka, itupun  hanya pada penilaian zahir sahaja, mungkin dia bersyahadah bersendirian sebelum menemui Allah.... kita tidak tahu...

Pelaku maksiat juga demikian, pada zahirnya maksiat adalah faktor yang membawa seseorang ke neraka, namun kita tidak tahu, mungkin seseorang itu disamping maksiatnya, ada kebaikan yang dibuat yang mungkin mampu memadamkan dosanya disisi Allah, Mungkin juga dia bertaubat tanpa kita tahu, hanya Allah yang menentukan kedudukannya, Ini tidak menghalang kita untuk menyatakan yang salah itu salah, dosa itu dosa.

Kita akan membantah kemaksiatan yang dilakukan kerana itu tanggungjawab agama, namun kita tidak akan melaknat individu berkenaan dan menentukan dia semestinya ahli neraka. Fanatik dan permusuhan yang melampaui batas, kadang kala menyebabkan seseorang terlajak dalam menghukum orang lain.

Inilah yang berlaku dikalangan golongan khawarij yang me'neraka' seseorang hanya kerana satu dosa. Inilah juga yang berlaku dalam golongan fanatik agama dalam berbagai aliran dan kepartian yang me'neraka'kan orang  hanya kerana satu dosa yang dicanangkan oleh orang lain, Padahal sepatutnya, memadai dengan menegur dan menghalang kesalahan atau dosa, namun jangan membuat keputusan kedudukannya disisi Allah.

Jangan melampau dalam menghukum orang lain. Dalam hadis al-imam al-bukhari, Rasullallah s.a.w mengajar kita hakikat ini,.
"Seorang lelaki bernama Abdullah digelar 'himar'(keldai), dia pernah menyebabkan Rasullallah ketawa, juga pernah Nabi s.a.w menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak, pada suatu hari dia ditangkap lagi, (sebab kesalahan maminum arak) maka baginda pun menghukum lalu dia disebat,. seorang lelaki berkata " ya Allah! laknatilah dia alangkah kerap dia ditangkap", Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: "Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia dia mencintai Allah dan Rasulnya",(riwayat al-bukhari).

Bagaimana mungkin orang yang meminum arak menyintai Allah dan Rasulnya? Tidakkah Rasullallah s.a.w sendiri bersabda:

"Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang dibawa kepadanya", (riwayat abu daud dan ibnu majah)

Jawapannya, bukan semua yang meminum arak atau apa-apa maksiat itu membenci Allah dan Rasulnya,. maksiat adalah dosa dan kelemahan dirinya, namun tidak semestinya pelaku maksiat membenci islam, maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya.

Betapa ramai insan yang nampak peribadinya lemah, tetapi jiwanya masih sayangkan Allah dan Rasulnya, sayangkan islam dan marah jika islam dan kaum muslimin dihina dan dianiaya, Ya.. Rasulallah s.a.w melaknat peminum arak dan yang terlibat denganya. Pelaknatan itu secara umum, namun apabila penentuan acara individu maka penilaian khusus hendaklah teliti, setiap insan mempunyai latar dan setuasi yang berbeza...

Disebalik itu, orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya ikhlas atau riyak atau tujuannya tersembunyi, kita tidak tahu jiwanya bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik, dimana kesemua itu faktor yang mengheret seseorang ke neraka, Mungkin juga ada dosa atau kezalimanya terhadap insan lain sehingga Allah mengambil segala pahalanya sebagai gantian,.

 Nabi s.a.w pernah bertanya kepada para sahabat

Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? jawab mereka, "orang yang muflis dalam golongan kami ialah siapa yang tidak mempunyai dirham dan harta", sabda baginda: "orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada hari kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, dia juga pernah memaki seseorang , menuduh sesorang, makan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan keatasnya lantas dicampakkan dia kedalam neraka" (riwayat muslim).

Ini bukan perkara pelik, ada orang yang kadang kala berzikir dan bertahmid sebelum berucap atau berceramah, namun apabila dia habis bertahmid dan berzikir, dia memaki hamun orang lain bagaikan tiada sempadan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan